Jumaat, 20 Jun 2008

Heroin - Kuala Lumpur (KLIA) JUN

KUALA LUMPUR 19 Jun — Polis menahan seorang lelaki disyaki anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam yang cuba menyeludup masuk heroin ke negara ini.

Lelaki tempatan berusia 22 tahun itu, yang tiba dari sebuah negara jiran, ditahan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Persekutuan kira-kira pukul 5.45 petang.

Pengarah JSJN, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin dalam satu kenyataan hari ini berkata polis menemui heroin no.4 seberat 3.5 kilogram bernilai RM650,000.

“Suspek membawa heroin itu dalam satu bungkusan plastik yang dibalut dengan pita pelekat kuning. Dadah berkenaan disembunyikan di lapisan bawah beg yang dibawanya.

“Siasatan awal mendapati, pengedaran dadah ini mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa yang menggunakan jalan udara untuk membawa masuk dadah ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata polis sedang memburu anggota sindiket yang lain.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.- Sumber

Tiada ulasan: