Khamis, 19 Jun 2008

Heroin - Singapura (Changi) JUN

SINGAPURA 17 Jun – Biro Pusat Narkotik Singapura (CNB) merampas 10.8 kilogram (kg) dadah jenis heroin gred 4 dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Malaysia di sini semalam, rampasan terbesar heroin gred bermutu tinggi sejak 10 tahun lepas di negara itu.

Lelaki berusia 24 tahun bertindak sebagai penghantar dadah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa dan ditahan dalam satu operasi oleh pasukan CNB.

Turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang wanita Malaysia berusia 53 tahun dan seorang lelaki Singapura berusia 63 tahun, kedua-dua mereka disyaki memiliki dadah tersebut.

Heroin Gred 4 itu adalah untuk pasaran antarabangsa.

Dalam kenyataan hari ini, CNB menyifatkan rampasan itu yang terbesar dalam negara itu sejak 10 tahun lepas.

Menurutnya, satu operasi dilancarkan untuk menggagalkan penghantaran dadah itu selepas menerima maklumat bahawa satu sindiket antarabangsa menggunakan negara itu sebagai pusat persinggahan penyeludupan dadah.

Pegawai-pegawai CNB pada mulanya mengesan seorang wanita meninggalkan sebuah rumah stor di Toa Payoh dengan menaiki sebuah kereta yang mempunyai nombor pendaftaran Malaysia.

Wanita itu diekori oleh pegawai CNB sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di mana dia dilihat bertemu dengan penghantar dadah yang tiba ke republik itu menerusi sebuah penerbangan antarabangsa.

Kedua-dua suspek kemudian menuju ke tempat letak kereta di mana lelaki berkenaan dilihat memberi sebuah beg pakaian berwarna hitam kepada wanita itu sebelum masing-masing meninggalkan kawasan itu.

Wanita itu meninggalkan lapangan terbang itu dengan menaiki keretanya manakala lelaki berkenaan menaiki sebuah teksi.

Pegawai-pegawai CNB mengekori teksi itu sehingga ke Jalan Arab di sini dan menahan lelaki itu sebaik sahaja teksi itu berhenti di hentian teksi.

Sementara itu, satu lagi pasukan CNB menahan wanita itu di persimpangan jalan di Toa Payoh dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, pegawai CNB menemui beg pakaian itu dalam but kereta.

Hasil tindakan susulan pada sebelah malam, mereka menahan penjaga stor berkenaan dan hasil pemeriksaan di tempat itu, dua lagi beg pakaian berwarna hitam ditemui.

CNB berkata, ketiga-tiga beg pakaian itu mempunyai ruang khas di bahagian bawah untuk menyembunyikan dadah yang dimampat itu. — Sumber

Tiada ulasan: