Sabtu, 21 Jun 2008

Heroin , Syabu - Kuala Lumpur (Brickfields) JUN

KUALA LUMPUR: Lima lelaki warga emas termasuk seorang warga Thailand dan seorang orang kurang upaya (OKU) antara 32 yang ditahan selepas didapati memiliki serta positif mengambil dadah dalam operasi khas di beberapa laluan motosikal di sekitar Brickfields di sini, kelmarin.

Semua mereka ditahan dalam operasi selama empat jam bermula jam 5 petang membabitkan 56 anggota termasuk pegawai daripada Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Rela.

Dalam operasi itu, tiga lokasi dikenal pasti menjadi laluan utama golongan terbabit adalah di Batu 3, Jalan Klang Lama, Plaza Tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Petaling Jaya dan Pantai Dalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata 43 penunggang dan pembonceng motosikal diperiksa dalam operasi khas itu.

“Hasil pemeriksaan pihak kami mendapati 11 daripada mereka memiliki heroin dan syabu, manakala 21 lagi disahkan positif dadah.

“Semua mereka termasuk warga emas, OKU dan warga Thailand yang berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya pada sidang media di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields, Asisten Superintendan R Azizan Ibrahim.

Kata Abdul Bari, penahanan itu adalah terbesar setakat ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama.

Menurutnya, pihaknya turut menyiasat sama ada mereka yang ditahan kerana memiliki dadah itu terbabit dengan sindiket pengedaran bahan haram itu di sekitar Lembah Klang.

Katanya, operasi berkenaan dilakukan bertujuan memantau dan membanteras kegiatan golongan Mat Rempit yang dikenal pasti banyak terbabit dengan kegiatan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah. - Sumber

Tiada ulasan: