Sabtu, 7 Jun 2008

Kanabis - Kuala Lumpur (Cheras) JUN

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pelajar lelaki Jumaat lalu kerana dipercayai mengedar dadah untuk mendapatkan duit poket.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang berkata semasa ditahan, pelajar berumur 17 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan di tempat meletak kereta kawasan perumahannya di Flat Sri Johor, Jalan Cheras.

"Semasa ditahan pelajar itu sedang duduk di atas motor jenis Honda EX5. Hasil pemeriksaan ke atas motor itu, polis menjumpai sebuah beg berwarna putih dalam raga motosikalnya yang didapati mengandungi daun-daun kering yang disyaki dadah jenis kanabis seberat 11.90 gram yang dibungkus dengan kertas warna putih," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Berikutan penemuan dadah itu, polis menyerbu flatnya dan menjumpai sebuah bekas tin rokok jenis gudang garam yang mengandungi daun-daun kering (kanabis) seberat kira-kira 70 gram dan seketul daun kering mampat seberat 201.20 gram yang disembunyikan di dalam daun pisang di dalam almari pakaian pelajar itu.

"Polis percaya pelajar terbabit telah menjalankan kegiatan ini sejak minggu lepas untuk menampung perbelanjaannya semasa cuti sekolah ini.

"Hasil siasatan awal mendapati individu yang membekalkan dadah kepada suspek adalah individu yang dikenalinya," katanya.

Polis juga percaya wujudnya kumpulan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan pelajar-pelajar sekolah sebagai agen dalam kegiatan tersebut.

Dadah itu dijual sekitar RM2,000 hingga RM2,800 untuk satu kilogram dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM700 hingga RM1,000, katanya.

"Kumpulan ini menggunakan golongan pelajar kerana mereka mudah diperdaya dan mereka juga ghairah untuk mendapatkan duit lebih walaupun menggunakan jalan yang salah," kata Kang.

Bagaimanapun suspek didapati negatif dadah setelah ujian air kencing dilakukan ke atasnya.

Suspek ditahan reman tujuh hari bermula dari tarikh dia ditangkap bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. - Sumber

Tiada ulasan: