Isnin, 16 Jun 2008

Kanabis - Perlis (Kuala Perlis) JUN

KOTA BHARU 16 Jun – Seorang penjual ayam hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,996.7 gram enam tahun lalu.

Hakim Datuk Sulaiman Daud menjatuhkan hukuman itu ke atas Ou Seng Same-ae, 40, setelah mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz berjaya membuktikan kes tersebut di luar keraguan munasabah.

Hakim Sulaiman ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman gantung seperti yang telah ditetapkan undang-undang.

Ou Seng, yang berasal dari Narathiwat, Thailand dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah dekat Kampung Berek Gong Demin, kira-kira pukul 3.20 petang, 10 Januari 2002.

Dalam alasan penghakimannya, Sulaiman berkata, mahkamah tidak dapat menerima pembelaan tertuduh yang mendakwa beg berwarna merah yang mengandungi ganja itu milik seorang rakannya yang bernama “Ayub”. Dalam pembelaannya, tertuduh yang diwakili peguambela Ahmad Nizam Mohamed memberitahu mahkamah kira-kira pukul 2 petang hari berkenaan, beliau bersama kawannya Ayub ke Gunong, Bachok, dengan kereta (Perodua) Kancil milik Ayub ke rumah kawan tertuduh yang dikenali sebagai Abang Mat.

Menurut tertuduh, ketika berada di dalam kereta beliau nampak beg berwarna merah di tempat letak kaki kanan Ayub. Ketika beliau bertanya apa isi kandungan beg itu, tertuduh berkata Ayub menjawab ’tak payah tahu’.

Kemudian, menurut keterangan tertuduh, ketika berada di dalam rumah Abang Mat, Ayub meninggalkan beg itu kepada tertuduh untuk mengambil barang yang tertinggal dalam kereta.

“Mahkamah berpendapat mustahil Ayub menyerahkan beg yang mengandungi barang yang begitu berharga baginya sehingga tidak sanggup berpisah jauh sehingga meletakkannya di sebelah kaki ketika memandu.

Sulaiman berkata, keadaan tertuduh yang menggeletar dan terkencing dalam seluar ketika seorang anggota polis yang menyerbu rumah itu menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan mengenai dadah dalam beg tersebut.

Selain itu, katanya, hakikat bahawa tertuduh baru keluar dari Thailand pada hari itu (10 Januari 2002) yang dibuktikan dengan dokumen yang sah dan masuk ke negara ini pada tarikh yang sama membuktikan ganja yang dibungkus dengan suratkhabar Siam dalam beg merah itu bukan diserahkan Ayub kepada tertuduh.

Tertuduh pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati sebelum dipinda kepada Seksyen 39A (2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Ou Seng yang mengaku bersalah memiliki 1.9 kilogram kanabis dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan sebatan 10 kali oleh hakim yang sama pada 15 Julai 2003.

Tertuduh mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara dan sebat itu.

Bagaimanapun pendakwaraya sekali lagi mengubah pertuduhan dari memiliki kepada mengedar dadah.

Ketika hukuman dijatuhkan, Ou Seng yang memakai T-shirt putih dan seluar berwarna ungu kelihatan tenang.

Sulaiman bagaimanapun bersetuju hukuman ditangguhkan bagi memberi peluang kepada tertuduh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. — Sumber

Tiada ulasan: