Khamis, 19 Jun 2008

Kanabis - Selangor (Selayang) JUN

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemandu kren selepas disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat 843.82 gram, empat tahun lalu.

TERIMA HUKUMAN: Johan keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, semalam.

Johan Yeop Idris, 48, didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, mengedar dadah di Restoran Indah Selayang, Taman Sri Selayang, pada jam 12.30 tengah malam 17 Mac 2004.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim, ketika membacakan penghakimannya berkata, pembelaan gagal mematahkan tanggapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Katanya, mahkamah mendapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan iaitu mengedar dadah.

Terdahulu, Zaharah berkata, mahkamah berpuas hati ada kandungan dadah dalam beg plastik berwarna kuning yang dipegang tertuduh ketika ditahan.

"Sebelum membuat keputusan, pada peringkat pendakwaan, saya sudah meneliti keterangan saksi keenam pendakwaan Mohamad Rosidi Ahmad, yang bersama-sama tertuduh ketika kejadian. Keterangannya tidak cukup untuk menimbulkan keraguan munasabah," katanya.

Zaharah berkata, keterangan menunjukkan saksi yang ditahan bersama-sama tertuduh menyatakan tertuduh yang menumpangnya ke tempat kejadian pada malam itu.

Selain itu, tertuduh yang dipanggil membela diri, memilih memberi keterangan secara bersumpah dan mengatakan dia berada di tempat kejadian secara kebetulan dan saksi itu yang mengajaknya menaiki kereta untuk ke tempat kejadian.

Zaharah berkata, keterangan saksi lain juga menunjukkan kedatangan tertuduh ke restoran itu bukan secara kebetulan, sebaliknya dirancang.

Peguam bela tertuduh, Rajpal Singh, kemudian memaklumkan kepada mahkamah tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Katanya, Johan sudah ditahan reman sejak 2004 dan keluarganya kini ditanggung adik beradiknya dan mengalami kesulitan hidup. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib. - Sumber

Tiada ulasan: