Sabtu, 7 Jun 2008

Kokain - Pulau Pinang (Butterworth) JUN

GEORGETOWN: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pulau Pinang merampas satu bungkusan mengandungi dadah bernilai kira-kira RM200,000 di Pejabat Pos Besar Butterworth dekat sini, Khamis lalu.

Bungkusan yang diikrar sebagai komponen komputer dan dipos dari Brazil itu, dikesan pegawai kastam yang bertugas di pejabat berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang.

Timbalan Ketua Pengarah KDRM (Pencegahan), Datuk Mardina Alwi, berkata serbuk dadah kokain seberat satu kilogram dalam bungkusan plastik lutsinar dikesan antara pada papan cetakan litar yang digam bersama.

Beliau berkata, bungkusan itu dialamat kepada seorang wanita berusia 27 tahun di Kepala Batas yang kemudian ditahan reman selama satu minggu untuk siasatan, pada jam 7.20 malam hari sama.

Katanya, KDRM sedang menyiasat sama ada mangsa keturunan Melayu itu dianiaya dan alamat rumahnya digunakan sindiket itu atau wanita terbabit juga adalah ahli sindiket.

"Seorang lelaki Afrika berusia lingkungan 20 tahun yang menuntut di sebuah kolej swasta dan dikatakan kenalan kepada wanita itu turut ditahan di rumahnya di Prai dan direman untuk tempoh sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, petang semalam. Hadir sama, Pengarah KDRM Pulau Pinang, Matrang Suhaili dan Timbalan Pengarah (Pencegahan), Chik Omar Chik Lim.

Rampasan itu adalah kali kedua dibuat KDRM negeri selepas mematahkan penyeludupan 10,000 pil Eramin 5 bernilai RM150,000 dalam dua bungkusan dari Taiwan di pejabat pos sama pada 12 Mei lalu.

Mardina berkata, wanita yang belum berkahwin itu menetap bersama sebahagian ahli keluarganya, manakala lelaki Afrika itu menyewa bersama beberapa rakannya.

"Dalam siasatan, wanita berkenaan menafikan bungkusan berkenaan ditujukan kepadanya dan ia membawa kepada peranan lelaki Afrika itu," katanya.

Beliau berkata, modus operandi menjadikan pejabat pos sebagai transit penghantaran dadah dari luar negara kian popular berikutan beberapa kes seumpama itu turut dikesan di negeri lain.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Sumber

Tiada ulasan: