Khamis, 12 Jun 2008

Kokain - UK (East Midlands) JUN

LONDON 12 Jun — Seorang wanita Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Loughborough di Leicestershire bagi pertuduhan mengedar dadah selepas kokain seberat 3.5 kg ditemui dalam bagasinya semasa tiba di Lapangan Terbang East Midlands dari Gambia pada akhir bulan lepas.

Susanna Janury, 36, seorang pengasuh kanak-kanak, mendakwa dia tidak tahu menahu mengenai dadah itu, dianggarkan bernilai 150,000 pounds (1 pound RM6.43), menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Akhbar tempatan The Chichester Today melaporkan pada 28 Mei lepas bahawa Susanna, dari Selangor, telah menyatakan bahawa beg itu diberikan kepadanya oleh seseorang yang dia temui di Gambia selepas dia memerlukan beg tambahan untuk barangnya.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rangka lawatan ke sini, merujuk kepada kes Susanna semasa menjawab satu soalan mengenai sama ada Malaysia membenarkan warga asing yang ditahan di Malaysia diekstradisi bagi menjalani perbicaraan di negara lain.

Sebelum itu, beliau menyampaikan ceramah bertajuk “Malaysia in the Face of New Global Challenges” di Chatham House, yang menempatkan Royal Institute of International Affairs, semalam. - Sumber

Tiada ulasan: