Selasa, 10 Jun 2008

Mati - Pulau Pinang (Kapitan Keling)

PULAU PINANG 10 Jun — Seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Azam Abdul Hamid berkata, lelaki berumur sekitar 40 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu dipercayai dipukul menggunakan benda keras oleh lebih daripada seorang penyerang dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, lelaki itu yang berasal dari Weldquay di sini, baru dua minggu dibebaskan dari Pusat Serenti Benta, Pahang, dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Dia juga dikatakan tidak pernah pulang ke rumahnya dan sering berkeliaran di sekitar bandar,” katanya kepada pemberita di sini.

Azam berkata, mayat lelaki itu sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk dibedah siasat, dan ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dengan menelefon 04-229 2222 bagi membantu siasatan.— Sumber

Tiada ulasan: