Isnin, 9 Jun 2008

Operasi - Selangor (Petaling Jaya) JUN

PETALING JAYA: Polis memberkas 12 penunggang motosikal yang dikesan positif dadah dalam operasi bersepadu di sekitar daerah ini, awal pagi semalam.

Penunggang motosikal berusia 19 hingga 26 tahun itu ditahan selepas ujian air kencing mereka dikesan positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata polis juga mengeluarkan 107 saman kerana pelbagai kesalahan trafik.

Katanya, dua lelaki berusia 20-an dipercayai terbabit kes ragut turut diberkas.

“Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut mengenai pembabitan suspek yang ditahan itu.

“Dalam operasi sama, 12 motosikal pelbagai jenis disita kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Beliau berkata, lima pendatang asing tanpa izin turut diberkas dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, semua pendatang itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Operasi bersepadu itu dilakukan seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membabitkan 12 pegawai dan 72 anggota bermula jam 1 pagi dan berakhir lima jam kemudian.

“Seramai 12 anggota dan seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras turut terbabit dalam operasi itu,” katanya.

Abdul Razak berkata, antara matlamat operasi bersepadu itu adalah membanteras jenayah seperti ragut dan samun membabitkan penunggang motosikal.

Katanya, operasi itu juga dilakukan memandangkan kes kecurian motosikal adalah penyumbang utama indeks jenayah daerah Petaling Jaya.

“Kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal juga penyumbang kepada kadar kemalangan maut di Petaling Jaya.

“Polis akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, jenayah dan kehilangan motosikal di daerah ini,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kes jenayah boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau balai polis berhampiran. - Sumber

Tiada ulasan: