Sabtu, 7 Jun 2008

Perangkap - Johor (Pontian) JUN

PONTIAN 1 Jun – Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di luar negara selepas menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan.

Mangsa, Sheikh Faiezan Omar, 19, (gambar) dari Kampung Paya Embun, Pekan Nanas dekat sini ditahan oleh pihak berkuasa Taiwan di Taipei pada 24 Mac lalu.

Remaja anak kelima daripada tujuh beradik itu ditahan kerana disyaki membawa dadah jenis heroin seberat 2.141 gram dalam sebuah beg miliknya ketika hendak berlepas pulang ke Malaysia.

Bapanya, Omar Yaini, 54, berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu selepas dua minggu anaknya ditahan apabila seorang pegawai yang bertugas di Malaysia Friendship and Trade Centre di Taipei memaklumkan kes itu kepadanya melalui telefon.

“Saya terkejut dengan berita itu. Apabila dirujuk kepada Wisma Putra, memang benar nama anak saya ada dalam senarai warga Malaysia yang ditahan di Taiwan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Omar, ketika beliau mendapatkan penjelasan daripada pegawai di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengenai perkara itu, Bukit Aman memberitahu bahawa kes tersebut kini dalam siasatan polis antarabangsa (Interpol).

Katanya, menurut kertas pertuduhan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Kausiong Taiwan yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia, Faiezan dikatakan merupakan suspek utama kegiatan pengedaran dadah antarabangsa.

Pertuduhan itu dibuat berpandukan kepada pasport antarabangsa Faiezan yang pernah singgah di beberapa destinasi seperti Hong Kong, Vietnam, Laos selain Taiwan dengan tujuan perjalanannya membawa barangan kristal.

Faiezan kini disiasat mengikut undang-undang pencegahan dadah Taiwan yang jika disabitkan kesalahan boleh menyebabkan remaja itu dihukum penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun penjara.

Omar memberitahu, anaknya itu baru dua bulan bekerja sebagai penghantar barangan ke seberang laut.

Beliau tidak mengetahui bila anaknya pergi ke luar negara. Omar hanya tahu Faiezan tinggal bersama kakaknya yang juga anak sulung Omar, Nur Asmawati, 30, di Kuala Lumpur.

“Saya kenal betul anak saya itu, dia seorang yang ‘lurus bendul’ dan tidak mungkin melakukan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang.

“Faiezan telah diperangkap oleh satu sindiket dadah yang mengambil kesempatan atas sikapnya yang jujur dan tidak banyak soal sekiranya diberikan tugas atau kerja,” jelasnya.

Lebih membimbangkan Omar ialah sehingga kini beliau belum dapat berhubung dengan anaknya memandangkan ketika siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Taiwan, Faiezan tidak dibenarkan berhubung dengan pihak luar.

“Saya merayu kepada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya membantu kami sekeluarga menemui Faiezan serta membela nasibnya dari segi perundangan,” katanya.

Omar menjelaskan, pendapatannya yang kecil sebanyak RM500 sebulan sebagai pekerja pembersihan sebuah syarikat swasta menyebabkannya tidak mampu mendapatkan bantuan guaman bagi membebaskan Faiezan.

Beliau sekeluarga kini hanya mampu berdoa dan mengadakan solat hajat agar anaknya yang menghidap sakit sendi tulang itu terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.

Beliau dan isterinya, Hadiah Gondit, 48, amat merindui Faiezan. “Kami tidak pernah berpisah lama dengannya,” luah Omar dalam nada sayu. - Sumber

Tiada ulasan: