Selasa, 10 Jun 2008

Perangkap - Sepanyol (Madrid) JUN

KUALA LUMPUR: Seorang lagi wanita Malaysia ditahan di Sepanyol kerana diperalat sindiket dadah antarabangsa yang memaksanya menelan 100 kapsul dipercayai mengandungi dadah jenis kokain untuk diseludup ke negara itu.

Wanita berketurunan India berusia 20-an ditahan pihak berkuasa Sepanyol ketika dikatakan cuba membawa masuk bahan larangan itu dari sebuah negara lain ke Sepanyol, 29 Mac lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, mangsa yang kini ditahan di Penjara Soto Del Real, Madrid, ke Sepanyol awal tahun ini, selepas menerima tawaran seorang lelaki warga Afrika dikenali sebagai Tony yang menawarkannya kerja sebagai pengasuh di Eropah.

Katanya, selepas dua bulan berada di negara itu, mangsa dikatakan dipaksa anggota sindiket berkenaan untuk menjadi penghantar dadah.

“Dia dipaksa menelan 100 kapsul mengandungi dadah untuk dibawa dari sebuah negara lain ke Sepanyol, tetapi berjaya dikesan pihak berkuasa negara terbabit,” kata sumber di Sepanyol.

Wanita itu dipercayai menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa yang didalangi beberapa warga Afrika dan wanita Malaysia yang menjadikan mereka sebagai penghantar dadah.

Berita Harian sebelum ini mendedahkan sindiket berkenaan menjadikan Sepanyol sebagai pusat kegiatan mereka dan memaksa wanita negara ini menyeludup dadah ke beberapa negara lain, termasuk Brazil dan Peru.

Difahamkan beberapa lagi wanita negara ini turut ditahan di Penjara Soto Del Real, termasuk wanita berusia 24 tahun berasal dari Klang, Selangor yang ditahan pihak berkuasa Sepanyol sejak 21 Mac lalu, kerana cuba menyeludup kokain dari Brazil.

Mangsa lain yang dipercayai diperdaya sindiket sama ialah Dayang Sakienah Mat Lazin, 20, dari Bukit Payong, Terengganu, dan Norfaizura Azura Md Lias, 28, dari Pulau Pangkor, Perak.

Kedua-dua mereka mendakwa dibawa ke Sepanyol, sebelum ditahan di Malta sejak Mac lalu kerana dikatakan dipaksa menjadi penghantar dadah.

Berdasarkan maklumat mangsa beberapa lelaki warga Afrika dikenali sebagai Tony/Anthony, Mike, James dan Shaba, memperdaya mereka melakukan aktiviti berkenaan.

Sumber itu berkata, wanita berusia 20-an berkenaan mengaku mengenali Tony, malah mendakwa lelaki berkenaan pernah menunjukkan kepadanya enam pasport warga Malaysia berketurunan Melayu untuk dihantar bekerja di Eropah, dipercayai untuk diperalatkan seperti mereka.

Katanya, beberapa wanita negara ini yang ditahan di Penjara Soto Del Real, Madrid mendakwa turut mengenali Tony, yang dikatakan pernah tinggal di Wangsa Permai di sini dan kerap berpeleseran di beberapa pusat komersial dipercayai bagi mencari mangsa.

“Sindiket dadah itu juga dipercayai turut menjadikan wanita Thailand sebagai mangsa berdasarkan seorang wanita negara itu turut ditahan di penjara sama.

“Wanita Thailand itu juga mendakwa mengenali Tony iaitu sebagai sahabat kepada teman lelakinya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Sepanyol yang dihubungi semalam mengesahkan penahanan wanita berusia 20-an itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, hampir 20 rakyat Malaysia, khususnya wanita ditahan di Sepanyol berhubung kes dadah sejak tahun lalu.

Bagaimanapun mereka ini agak bernasib baik kerana hukuman bagi kes dadah di Sepanyol tidak seberat di beberapa negara lain. - Sumber

Tiada ulasan: