Sabtu, 7 Jun 2008

Pil Khayal - Johor (Muar) JUN

MUAR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah selepas menahan lima individu termasuk seorang wanita dan merampas pelbagai jenis pil khayal bernilai kira-kira RM25,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal mini memproses dadah di Taman Sungai Abong, dekat sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Lee Choon Guan, berkata dalam serbuan jam 3.15 petang sepasukan polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar diketuai Inspektor Ashadi Mohd Nawawi, turut dirampas pelbagai peralatan diubah suai untuk memproses pil khayal termasuk alat mencetak logo, pengisar dan komputer riba bagi tujuan dokumentasi.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut menemui pelbagai pil khayal dan dadah termasuk 637 gram serbuk ecstasy, 95 biji pil ecstasy, 10 biji pil eramin 5.91 gram ketamin dan tiga gram heroin, semuanya bernilai kira-kira RM25,000.

"Kejayaan serbuan dan rampasan dadah itu adalah yang terbesar dicatatkan sepanjang tahun ini, dan kita masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan masih ada lagi saki baki anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Katanya, kumpulan itu dipercayai sering memindahkan lokasi makmal mini memproses dadah terbabit bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan siasatan awal mendapati ia baru beroperasi di rumah dua tingkat berkenaan.

Lee berkata, siasatan juga menunjukkan semua bekalan dadah dan pil khayal yang diproses di rumah itu dipercayai untuk pasaran sekitar daerah ini.

Katanya, rumah itu adalah milik seorang lelaki yang berusia 34 tahun yang tinggal bersama anak saudaranya yang turut ditahan, manakala dua lagi lelaki dan seorang wanita dipercayai adalah pelanggan mereka.

"Sebuah daripada bilik di rumah dua tingkat itu dijadikan sebagai makmal mini yang dipercayai boleh menghasilkan lebih 50 biji pil khayal dalam sehari dan dijual pada harga RM20 sebiji mengikut harga pasaran," katanya.

Lee berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Katanya, empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 32 tahun yang ditahan dalam serbuan itu kini ditahan reman sehingga 6 Jun ini, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan. - Sumber

Tiada ulasan: