Selasa, 10 Jun 2008

Pil Khayal - Thailand (Chiang Mai) JUN

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang lelaki warga Malaysia bergelar jutawan dengan menjual dadah ‘pil parti’ di kawasan pelancongan utama di Chiang Mai, Thailand berkubur apabila suspek diberkas polis negara berkenaan, kelmarin.

Laman web The Nation dipetik berkata, suspek diberkas sepasukan anggota polis Thailand yang melakukan penyamaran untuk menjejaki suspek sejak beberapa minggu lalu.

Difahamkan suspek berusia 32 tahun diberkas pada jam 1 pagi berhampiran kaki lima sebuah kedai makan di daerah Muang, Chiang Mai.

Difahamkan polis pada mulanya tidak menemui dadah berkenaan pada tubuh suspek sebaik tangkapan dilakukan.

Susulan itu polis menggeledah pangsapuri didiami suspek sebelum menemui beratus-ratus pil Ecstasy itu disembunyikan di dalam kediaman berkenaan.

Hasil siasatan mendapati sebanyak 355 pil Ecstasy itu dipercayai diseludup masuk ke negara itu khusus untuk dijual kepada pelancong asing yang berkunjung ke utara negara berkenaan.

Tangkapan pengedar dadah warga Malaysia itu adalah kes terbaru selepas tiga lelaki tempatan turut diberkas pihak berkuasa Indonesia kerana cuba menyeludup masuk dadah methamphetamine bernilai RM8.49 juta baru-baru ini.

Dalam kes itu, polis Indonesia merampas dadah seberat lebih 16 kilogram yang disembunyikan di dalam beg dibawa lelaki berkenaan.

Katanya, tiga warga Malaysia itu membawa 9.4 kilogram methamphetamine dikenali sebagai syabu di Indonesia bagi pasaran negara berkenaan.

Dua lagi rakan mereka warga Taiwan ditahan bersama 6.9 kilogram dadah beberapa hari berikutnya.

Rampasan terbesar pernah direkodkan berlaku pada 22 November lalu apabila seorang lelaki rakyat Malaysia diberkas polis Filipina selepas dikesan membina kilang dan makmal memproses syabu terbesar di negara itu.

Difahamkan, suspek diberkas polis anti narkotik Filipina yang melakukan serbuan di dua rumah di daerah Barangay Pangsawitan dan Pangsanjan di selatan Manila.

Suspek terbabit, Chin Soon Goon, 46, diberkas bersama seorang rakyat Singapura berusia 30 tahun dan dua rakyat China berusia 54 dan 36 tahun, selain tiga suspek warga Filipina.

Maklumat siasatan mendapati suspek warga Malaysia itu pernah dikesan membina makmal dadah sama di Malaysia dan China.

Seorang rakannya, warga China dikenali sebagai Chai sebelum ini pernah diberkas di Malaysia pada 2004, namun berjaya melarikan diri ketika dihantar pulang ke Fuzhou, China. Suspek kemudian menggunakan sekurang-kurangnya tujuh nama di Filipina.

Suspek rakyat Malaysia terbabit dan rakan warga China itu amat dikehendaki Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China (NNCC).

Suspek turut dipercayai sebagai individu bertanggungjawab menyeludup 1.7 tan syabu ke Malaysia dan China pada 2004

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dalam kenyataannya sebelum ini berkata, seramai 146 warga Malaysia ditahan di luar negara selepas didapati terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah sejak tahun 2006 hingga Mac lalu. - Sumber

Tiada ulasan: