Khamis, 19 Jun 2008

Pil Kuda , Pil Khayal - Kuala Lumpur (Ampang) JUN

KUALA LUMPUR: Seorang pelayan pelanggan (GRO) bersekongkol dengan kekasihnya untuk menjual pelbagai jenis dadah kepada pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu kota.

GRO berusia 21 tahun bersama pasangannya dikatakan terbabit dalam kegiatan itu sejak setahun lalu.

Mereka dipercayai menjual dadah sebagai kerjaya untuk mencari duit lebih untuk hidup mewah.

Pelanggan mereka ialah pengunjung pusat hiburan yang inginkan keseronokan ketika berhibur.

Perbuatan pasangan kekasih itu terbongkar selepas mereka dicekup sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di Jalan Pudu Ulu, Cheras di sini, Sabtu lalu.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata serbuan kira-kira jam 2.40 pagi itu dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan suspek.

“Pemeriksaan polis menemui 30 biji pil Eremin 5 dalam sebuah beg silang.

“Polis kemudian dibawa ke sebuah kereta jenis Nissan Sentra digunakan suspek dan menjumpai pelbagai jenis dadah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan polis dalam kereta itu menemui 40 biji pil Eramin 5, 70 pil Ecstasy dan 14.6 gram ketamin.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis menyerbu kondominium didiami pasangan terbabit di Taman Muda, Ampang dan menemui 54.6 gram lagi dadah ketamin, dua gram syabu dan sembilan pil Eramin 5 yang semuanya dianggarkan bernilai RM5,500.

“Kondominium itu dipercayai dijadikan tempat membungkus dan menghisap dadah berdasarkan beberapa penemuan seperti alat penimbang dan peralatan menghisap dadah.

“Polis turut merampas Nissan Sentra milik saudara lelaki suspek yang berasal dari Jerantut, Pahang dan RM1,300,” katanya.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, polis memberkas seorang lelaki dipercayai turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan di sekitar ibu kota.

Menurutnya, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di Jalan Doraisamy, Brickfields, ketika menunggang motosikal Yamaha 135LC milik abangnya.

“Pemeriksaan dalam jaket hitam dipakai suspek menemui 112 biji pil Ecstasy, 60 biji Eramin 5 dan 6.5 gram syabu.

“Polis kemudian menyerbu kondominium didiami suspek di Taman Shamelin Perkasa, Cheras dan merampas 40 biji Eramin 5, wang tunai RM214 dan sebuah telefon bimbit semuanya dianggarkan bernilai RM6,300,” katanya.

Suspek yang tidak bekerja, kini ditahan reman bagi membantu siasatan. - Sumber

Tiada ulasan: