Sabtu, 7 Jun 2008

Seludup - Pulau Pinang (Balik Pulau) JUN

BALIK PULAU: Suami kepada seorang wanita kurang upaya (OKU) yang ditahan pihak berkuasa Pakistan di atas tuduhan cuba menyeludup dadah di negara terbabit kini mendakwa hidup dalam tekanan.

Jaafar Noor, 43, berkata dia bukan saja ‘kehilangan’ isterinya, Siti Aishah Hamid, 43, tetapi juga kehidupannya apabila tidak lagi dapat menjalani urusan harian seperti biasa.

Menurutnya, ini termasuk dia terpaksa membiarkan kedai runcitnya di Kangar, Perlis diuruskan keluarga isterinya dan pulang ke kampungnya di Permatang Damar Laut, di sini.

“Sebulan selepas penahanan isteri, saya kini mula terasa perit dan berharap kesnya dapat diselesaikan dengan segera supaya semua kekusutan sekarang akan terlerai.

“Saya kini tidak dapat pulang ke Perlis kerana keluarga isteri saya sudah memberi ‘kata dua’ saya hanya boleh pulang ke sana berdua (dengan isteri), bukannya berseorangan,” kata kepada Harian Metro.

Jaafar berkata, dia percaya ‘amaran’ itu berpunca daripada keluarga isteri menyalahkannya di atas perkara yang menimpa Siti Aishah.

Siti Aishah yang mengidap penyakit tulang rapuh (SLE) kini ditahan pihak berkuasa Pakistan di Karachi sejak 24 April lalu tuduhan cuba menyeludup dadah dari negara itu ke Malaysia.

Dia dipercayai terperangkap dengan sindiket dadah antarabangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya mangsa memenangi percutian ke Singapura, tetapi sebenarnya ke Karachi untuk menyeludup dadah.

Jaafar mendakwa, dia sedih kerana keluarga isterinya terus menyalahkannya di atas perkara yang berlaku.

“Walaupun saya sudah menjelaskan saya bukan ‘menjual’ Siti Aishah kepada sindiket dadah berkenaan, namun keadaan dilihat masih belum reda (kemarahan keluarga isterinya).

“Saya berasa cukup sedih tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha mendapatkan pembelaan terbaik kepada isteri saya,” katanya.

Dia juga meminta ihsan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi cuti kepada anak saudara isterinya yang kini bertugas di Lumut, Perak dilihat boleh membantunya.

“Anak saudara isteri saya itu ingin membantu tetapi sukar mendapatkan cuti,” katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan Jaafar dipetik berkata, wang ringgit kini tidak bernilai kepadanya kerana paling penting bertemu atau sekurang-kurangnya bercakap dengan isterinya bagi memberi sokongan moral. - Sumber

Tiada ulasan: