Sabtu, 7 Jun 2008

Syabu - Pahang (Kuantan) JUN

KUANTAN: Seorang jurujual lelaki yang didapati memiliki sejumlah dadah ingkar ketika diminta berhenti oleh polis sebaliknya nekad melarikan diri dengan memandu van dengan tayar pancit.

Pengawai Turus Risikan Narkotik Negeri Pahang, ASP S. Xivier berkata lelaki berusia 28 tahun dan berasal dari Jengka, Maran itu diminta berhenti di kawasan Jalan Teluk Sisek, di sini, selepas dipercayai membawa sejumlah dadah di dalam vannya pada 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, lelaki berkenaan bagaimanapun terus memecut ke arah Jalan Bukit Ubi sebelum vannya menaiki pembahagi jalan menyebabkan keempat-empat tayar van berkenaan pancit.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan amaran kerana suspek juga cuba melanggar anggota yang cuba mengejarnya namun masih tidak diendahkan suspek," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di Jalan Lim Hoe Lek lelaki terbabit berlari keluar dari kenderaannya sebelum terjatuh ke dalam longkang dan ditahan polis.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui 29 gram dadah dipercayai syabu dan 8 gram lagi dipercayai ganja di dalam poket seluar dan beg pinggang lelaki terbabit.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Jalan Padang, Sungai Lembing pada 1 pagi tadi sebelum menahan seorang kontraktor wanita berusia 30 tahun yang dipercayai turut terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui satu gram dadah dipercayai syabu di dalam keretanya.

"Kita percaya kedua-dua suspek berkenaan sama-sama terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya.

Xivier berkata, lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

Manakala wanita berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1962. - Sumber

Tiada ulasan: