Selasa, 10 Jun 2008

Teknik - Kelantan (Kota Bharu) JUN

KOTA BHARU: Ada penagih tegar di negeri ini dikesan sanggup menelan syiling satu sen yang didakwa mampu membantu mengelak air kencing mereka dikesan positif dadah jika diminta menjalani ujian berkenaan.

Difahamkan, kaedah yang sukar diterima akal itu dipercayai berjaya menghalang keberkesanan ujian air kencing yang dilakukan pihak berkuasa.

Walaupun tindakan itu mungkin membahayakan nyawa sendiri, penagih tegar sanggup berbuat demikian semata-mata bagi mengelak ditahan jika dikesan terbabit penyalahgunaan dadah.

Kaedah itu dikatakan antara taktik terbaru digunakan golongan itu selain memakan makanan masam, klorin serta meminum air dalam jumlah banyak.

Perkara itu didedahkan Pengarah Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Wan Adnan Wan Mohd Nor yang mengakui terdapat sesetengah penagih tegar yang ditahan mengaku berbuat demikian semata-mata bagi mengelak mereka ditahan dan dihantar ke Pusat Serenti.

Bagaimanapun, menurutnya, bukan semua penagih berjaya mengelak ujian berkenaan kerana turut bergantung kepada jenis darah penagih terbabit.

Katanya, memang ada penagih yang berjaya mengelak ditahan selepas diarah menjalani ujian air kencing selepas meminum tawas bagi mengurangkan kesan dadah diambil.

"Cuma kita bimbang apabila AADK mengesan terdapat sejenis ubat yang dipercayai diperolehi penagih dari negara jiran yang didakwa dapat menghilangkan kesan dadah ketika diarah menjalani ujian air kencing tetapi tidak menghilangkan kesan khayal dadah.

"Memang ubat ini sering dibawa penagih supaya mereka berasa selamat setiap kali selepas mengambil dadah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Adnan berkata, dalam kebanyakan kes, punca penagihan dadah akibat pengaruh rakan selain perasaan ingin tahu dan mahu mencuba untuk mendapatkan keseronokan semata-mata.

"Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah penagih baru yang direkodkan berkaitan penyalahgunaan dadah akibat pengaruh rakan sebanyak 344 kes dan jumlah kes berulang pula sebanyak 211 kes.

"Jika dilihat kepada jumlah kes, ia begitu membimbangkan dan ibu bapa perlu bijak mengawal pergerakan anak supaya tidak terbabit dengan pergaulan rakan yang tidak sepatutnya," katanya selepas menyerahkan 50 helai baju-T kepada Kelab Penyokong Bolasepak Kelantan dan wakil Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), semalam. - Sumber

Tiada ulasan: