Ahad, 6 Julai 2008

Heroin - Australia (Perth) JUL

KUALA LUMPUR: Pembabitan gadis Malaysia sebagai ‘keldai’ sindiket dadah antarabangsa seolah-olah tiada noktah apabila seorang lagi diberkas pihak berkuasa Australia, kelmarin kerana didakwa cuba menyeludup heroin seberat 2.4 kilogram.

Gadis terbabit yang berusia 22 tahun dikatakan cuba menyeludup dadah itu dengan menyembunyikannya dalam ruang sulit dalam beg dibawanya.

Laman web akhbar Perth Now melaporkan, gadis terbabit yang memegang pasport Malaysia, ditahan pegawai kastam sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dari Hong Kong.

Difahamkan kastam yang menjalani imbasan X-ray pada beg gadis terbabit menemui bahagian sulit pada beg bimbit dibawa suspek sebelum ia diperiksa secara rapi.

Hasil pemeriksaan, kastam menemui beberapa bungkusan serbuk putih yang dipercayai dadah heroin tulen dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

Suspek ditahan dan disoal siasat polis Australia bagi mengesan dalang di sebalik pembabitannya dengan penyeludupan itu.

Difahamkan, heroin terbabit dihantar ke makmal polis bagi ujian forensik untuk mengenal pasti berat sebenar dan kandungannya.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Perth, pagi semalam bagi pendakwaan menyeludup dadah ke negara berkenaan.

Jika sabit kesalahan, gadis terbabit boleh dipenjara seumur hidup dan denda A$825,000 (RM2.6 juta).

Kes terbaru itu dianggap memeranjatkan selepas seorang wanita Malaysia berusia 40 tahun pernah ditahan kastam Australia kerana cuba menyeludup heroin bernilai lebih A$1.2 juta (RM3.6 juta) mengikut harga pasaran semasa.

Dalam kejadian awal Mac lalu, suspek dikatakan menyamar pelancong untuk menyeludup empat kilogram serbuk heroin yang disembunyikan dalam beg pakaiannya.

Tiada ulasan: