Jumaat, 4 Julai 2008

Heroin - Terengganu (Besut) JUL

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri yang memiliki empat anak dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.82 gram di depan sebuah stesen minyak di Besut, lima tahun lalu.

Tertuduh pertama, Zainun Mohd Nor, 42, dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa, Azaha Abd Rani, 49, didakwa mengikut Seksyen 39 B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) atas pertuduhan pertama mengedar 12.25 gram heroin di depan stesen minyak BP di Kampung Jabi, Besut kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 7 Disember 2003.

Hakim, Datuk Ahmad Maarof ketika membacakan penghakimannya, berkata selepas perbicaraan dijalankan dan mendengar semua keterangan diberi pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

"Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah memiliki serta mengedar heroin dan di bawah undang-undang negara kita pada masa ini, hanya satu hukuman diperuntukkan untuk kesalahan ini dan tugas mahkamah ialah menjatuhkan hukuman selepas mendapati kamu bersalah.

"Oleh itu, selepas menimbang semua keterangan dan hujah peguam tertuduh pertama dan kedua, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah dan bagi tertuduh pertama, Zainun Mohd Nor serta tertuduh kedua, Azaha Abd Rani yang menghadapi pertuduhan sama dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Ketika hakim menjatuhkan hukuman itu, Zainun yang memakai baju kurung kuning berbunga dan tudung sedondon serta suaminya yang memakai baju T putih dan seluar panjang kelihatan tenang. Peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh turut dilihat memeluk Azaha dan memberi kata-kata semangat sebaik mahkamah selesai bersidang.

Ahmad berkata, kedua-dua tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh ditangkap mengikut Seksyen 12 (2) ADB, atas pertuduhan kedua, iaitu memiliki dadah berbahaya jenis heroin seberat 9.57 gram pada waktu, masa dan tempat yang sama.

Beliau berkata, eksibit yang digunakan kedua-dua tertuduh untuk melakukan semua kesalahan itu termasuk kunci sebuah kereta sewa bernombor pendaftaran DU 3199 dilucutkan hak mengikut Seksyen 30 (6) ADB, manakala eksibit dokumen akan diserahkan kepada polis selepas rayuan selesai.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Aziz Derasid dan pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan, Othman Abdullah.

Terdahulu, Aziz memberitahu mahkamah pasangan suami isteri yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan mempunyai empat anak berusia antara sembilan hingga 24 tahun dan memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga kes berkenaan didengar di Mahkamah Rayuan. - Sumber

Tiada ulasan: