Ahad, 6 Julai 2008

Pil Khayal - Selangor (Pelabuhan Klang) JUL

SEREMBAN: Satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa terpaksa ‘berputih mata selepas cubaan mereka untuk menyeludup 130 kilogram ketamin bersama 300 guni kacang tanah melalui Pelabuhan Klang, kelmarin berjaya dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Sindiket yang dipercayai berpangkalan di India itu menggunakan modus operandi menyembunyikan 13 bungkusan serbuk ketamin dengan setiap satu seberat 10 kilogram dalam guni berisi kacang tanah.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket terbabit turut mengeksport 285 guni berisi kacang tanah ke negara ini manakala guni yang mengandungi bungkusan serbuk ketamin ditandakan dengan garisan biru bagi memudahkan anggota sindiket tempatan mengambil dadah itu.

Bagaimanapun, usaha mereka sia-sia selepas kontena berisi kacang tanah itu ditahan sepasukan anggota bahagian narkotik KDRM Pengkalan Hulu dan Ibu Pejabat kira-kira jam 2.30 petang sekali gus mencatatkan sejarah rampasan terbesar di negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid, berkata sebelum penahanan dibuat, semakan pihaknya dengan kastam India mendapati nama syarikat pengeksport kontena tidak wujud manakala syarikat pengimport menafikan barangan itu hak mereka.

“Ini menambahkan lagi kecurigaan terhadap kontena itu dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 13 bungkusan mengandungi serbuk ketamin disembunyikan bersama kacang tanah.

“Jumlah rampasan adalah sebanyak 130 kilogram dengan anggaran nilai sebanyak RM1.5 juta hingga RM2 juta. Anggaran runcit di pasaran pula adalah antara RM5 juta ke RM10 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Narkotik KDRM Nilai, di sini, semalam.

Menurutnya, susulan rampasan itu, KDRM menahan dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan ialah pengurus perkapalan yang berasal dari Pelabuhan Klang dan seorang pengurus syarikat tempatan di Subang Jaya, Selangor disebabkan alamatnya digunakan sebagai pengimport.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah itu mungkin akan diedarkan untuk pasaran tempatan berikutan wujudnya permintaan di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras penyeludupan dadah di talian bebas tol 1-800-88-8855 atau terus ke Pejabat Narkotik KDRM iaitu 06-7917587/ 7792. - Sumber

Tiada ulasan: