Ahad, 6 Julai 2008

Syabu - Kuala Lumpur (Chow Kit) JUL

KUALA LUMPUR - Angguk kepala. Itulah bahasa isyarat yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah dipercayai oleh warga Acheh yang mendominasi pasaran dadah jenis ice atau syabu di ibu kota terutama di sekitar Lorong Haji Taib dan Jalan Chow Kit.

"Cara anggukan dan pandangan ada caranya dan hanya mereka yang biasa berurusan sahaja yang boleh memahami bahasa isyarat tersebut.

"Apabila anggukan berbalas, barulah masing-masing akan datang berbincang untuk mendapatkan ice dalam tempoh lima hingga sepuluh minit," kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Awang yang merupakan antara ribuan penghuni tetap kawasan tersebut.

Menurut Awang, jika sebelum ini, kehadiran ramai warga asing di negara ini kebanyakannya untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Bagaimanapun, disebabkan 'gelap mata' setelah tahu cara untuk mendapat duit cara mudah, terdapat segelintir daripada mereka kini yang sanggup terjebak dalam jenayah lebih-lebih lagi dalam kegiatan pengedaran dadah.

"Sindiket dadah ice ini dikuasai oleh warga Acheh dan mereka berselindung di sebalik pelbagai gerai perniagaan yang terdapat di kaki-kaki lima di kawasan ini.

"Malah, aktiviti pengedaran dadah jenis tersebut yang kini semakin menjadi-jadi dan dilakukan secara tersembunyi dengan menggunakan khidmat pengedar pusher dan orang tengah runner.

"Runner kebanyakannya orang perempuan," katanya.

Wartawan Kosmo! Ahad yang membuat tinjauan sambil dibantu Awang mendapati, kebanyakan pengedar ice ini berkeliaran di sepanjang kawasan perniagaan pakaian terpakai dan gerai di kaki lima kawasan itu bagi mencari pelanggan.

Difahamkan, mereka hanya beroperasi mencari pelanggan bermula pukul 4 pagi hingga 7 pagi sebelum kembali rancak semula menjelang pukul 7 malam sehingga menjangkau ke awal pagi.

Kebanyakan dadah jenis ice dijual dalam peket dan saiz yang berbeza bergantung kepada permintaan pelanggan iaitu di antara RM50, RM100 dan RM150 bagi setiap peket.

Menurut Awang, kebiasaannya pusher terbabit akan memerhatikan gerak-geri pelanggan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang urus niaga.

"Mereka akan duduk dan berkeliaran di celah-celah perniagaan barangan tiruan dan pakaian terpakai di sepanjang lorong atau sekadar menunggu pelanggan.

"Golongan ini amat licik, sekali pandang siapa pun tidak akan perasan mereka itu merupakan pusher kerana dari segi pakaian dan perwatakan mereka tiada bezanya antara peniaga atau pengunjung," ujarnya.

Tambah Awang, setiap pusher mempunyai taktik tersendiri bagi memancing pelanggannya termasuk menggunakan bahasa isyarat atau bahasa tubuh.

Katanya lagi, pengedar dapat mengenali dan membezakan sama ada orang di depannya itu merupakan seorang pelanggan atau anggota polis yang berpakaian biasa. - Sumber

Tiada ulasan: