Selasa, 21 Oktober 2008

Bas Ekspres - Kuala Lumpur (Bukit Jalil) OKT

KUALA LUMPUR: Empat kes dicatatkan setakat ini membabitkan penggunaan dadah di kalangan pemandu bas ekspres menerusi operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena musim perayaan bermula 24 September lalu.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata daripada kes berkenaan, tiga pemandu bas ditahan di Bukit Jalil di sini, manakala satu lagi di Johor Bahru.

Katanya, selain pemandu bas, seorang penumpang turut ditahan kerana kesalahan sama di Melaka Sentral.

“Semua yang ditahan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi membabitkan bas ekspres, antara kesalahan paling banyak dikesan ialah kegagalan pengusaha menyediakan pemandu kedua dan buku log perjalanan.

“Kita sudah mengesan 21 kes membabitkan kesalahan berkenaan dan tindakan sudah diambil.

“Bagi kesalahan tidak menyediakan pemandu kedua, kita menahan bas daripada meneruskan perjalanan sehingga pengusaha berbuat demikian (menyediakan pemandu kedua),” katanya.

Salim berkata, bagi perjalanan yang melebihi jarak 300 kilometer atau yang memakan masa empat jam atau lebih, pengusaha diwajibkan menyediakan pemandu kedua.

“Kita minta semua pengusaha bas mematuhi arahan ini jika tidak mahu bas mereka ditahan daripada meneruskan perjalanan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, dalam operasi besar-besaran yang diadakan di seluruh negara itu, sebanyak 57,708 kenderaan sudah diperiksa termasuk 9,326 membabitkan bas ekspres.

“Sejumlah 6,421 saman sudah dikeluarkan dan sebanyak 152 kenderaan persendirian dikenakan tindakan sita terutama motosikal kerana kesalahan tidak mempunyai cukai jalan,” katanya.

Katanya, selain sekatan jalan raya, anggota penguat kuasa JPJ menjalankan operasi penyamaran membabitkan anggota tidak beruniform yang menggunakan kenderaan tidak berlogo JPJ dan melakukan rondaan di jalan raya bagi mengesan pesalah trafik.

“Pejabat JPJ di seluruh negara sudah menubuhkan pasukan penyamaran masing-masing bagi melaksanakan tugas ini,” katanya.

Katanya, dalam operasi berkenaan pesalah trafik tidak akan ditahan sebaliknya gambar mereka dirakamkan sebelum notis dihantar ke rumah masing-masing. - Sumber

Tiada ulasan: