Selasa, 21 Oktober 2008

Bebas - Selangor (Shah Alam) OKT

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang yang menghadapi pertuduhan pindaan memiliki 110.29 gram dadah jenis kanabis, bertindak spontan apabila berepuk tangan sebaik dia dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Reaksi spontan itu berlaku sejurus Hakim Mahkamah Sesyen 5, M Gunalan selesai membacakan keputusan penghakimannya terhadap Mohd Faiz Zainol, 26, dan mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berdasarkan pertuduhan dihadapinya.

Malah perasaan gembira itu turut dikongsi beberapa tertuduh lain yang siap sedia menunggu kes masing-masing apabila dilihat bersalaman sambil mengucapkan tahniah di atas pembebasan Mohd Faiz pada hari raya kesembilan, semalam.

Biarpun enggan memberikan sebarang maklum balas berhubung keputusan Gunalan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan memiliki kanabis, namun Mohd Faiz dilihat memeluk erat ibunya sebagai tanda kesyukuran.

Selain Mohd Faiz, bapa kandungnya turut berpelukan dengan peguam Hanif Hassan sebaik keluar mendengar prosiding berkenaan sambil mengucapkan tahniah berikutan pembebasan anaknya yang terlepas hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Mohd Faiz didakwa memiliki dadah jenis Kanabis seberat 110.29 gram, di bilik 509, Blok 82, Flet PKNS, Seksyen 24, pada jam 9.15 pagi, 20 Februari 2006.

Kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 yang boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

“Saya sudah mengkaji semua keterangan yang dikemukakan termasuk hujahan kedua-dua pihak, isu dibangkitkan pembelaan dan jawapan pendakwaan. Pertuduhan dalam kes ini adalah pemilikan dan intipati dalam kes ini, pihak pendakwaan mempunyai beban berhubung penjagaan dan kawalan pemilikan dadah.

“Saya dapati, keterangan keseluruhan hanya pada tahap tertuduh punyai pengetahuan tempat dadah disimpan bersama barang kes. Justeru saya dapati intipati tidak dapat dibuktikan dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie,” katanya. - Sumber

Tiada ulasan: