Selasa, 21 Oktober 2008

Heroin - Kuala Lumpur (Sungai Besi) OKT

KUALA LUMPUR: Licik! Apabila sekumpulan pengedar dadah berselindung di sebalik pusat kesihatan dan spa untuk menjual bahan terlarang itu kepada pelanggannya di Sungai Besi di sini.

Tiga suspek dikatakan menjual dadah melalui kaunter pusat kesihatan dan spa itu sejak beberapa bulan lalu kepada pelanggan tetap dan dipercayai mereka saja boleh berurusan di premis itu.

Malah, pelanggan lain yang datang ke pusat kesihatan dan Spa itu tidak mengetahui kerja sampingan suspek terbabit.

Kegiatan tiga lelaki berusia 21 hingga 35 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata ketika serbuan jam 10 malam itu, ketiga-tiga suspek gagal melarikan diri dan diberkas.

Pemeriksaan polis di kaunter pusat kesihatan dan spa itu menemui beg plastik yang mengandungi 40 peket dadah disyaki jenis heroin.

“Siasatan mendapati suspek menjadikan premis berkenaan untuk menjual dadah kepada pelanggan kira-kira dua bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,000.

Menurutnya, polis turut merampas lima telefon bimbit dan sejumlah wang tunai daripada suspek.

“Seorang daripada tiga lelaki yang masih bujang itu mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah.

“Ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah,” katanya.

Kang berkata, suspek dipercayai menjadikan kawasan Pudu dan Sungai Besi untuk memasarkan bahan itu.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui daripada sumber mana suspek mendapatkan bekalan dadah itu.

Semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori. - Sumber

Tiada ulasan: