Selasa, 21 Oktober 2008

Kanabis - Kuala Lumpur (Kampung Baru) OKT

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur diarah menjalankan kerja komuniti mengikut Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) 80 jam dalam tempoh dua tahun selepas didapati bersalah memiliki ganja seberat 150 gram.

Ini kali pertama PKM digunakan terhadap seorang pesalah dadah.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat turut mengarahkan G Gevan, 20, melaporkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan akhlak tertuduh perlu dihantar ke mahkamah setiap enam bulan.

Dia akan menjalani hukuman itu di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras berkuat kuasa semalam.

Gevan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki ganja 150 gram di Kampung Baru di sini, jam 10.30 malam, 13 Mac lalu.

Seseorang yang disabitkan kesalahan mengikut seksyen itu boleh dihukum mengikut akta sama hukuman penjara sehingga seumur hidup dan maksimum 10 kali sebatan.

Bagaimanapun, peguam Tharamjit Singh yang mewakili tertuduh membuat rayuan dengan mengemukakan PKM mengikut pindaan Seksyen 293 (1) (e) (1) Kanun Acara Jenayah (KAJ) dengan alasan tertuduh masih muda dan mangsa keadaan.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa Raya Jamaliah Abdul Manap.

Hukuman mengikut PKM itu yang pertama dikeluarkan mahkamah selepas pindaan dibuat kepada KAJ selepas diluluskan Parlimen pada Julai 2006 sebagai alternatif kepada hukuman penjara untuk pesalah muda berusia 18 hingga 21 tahun.

Mengikut perintah itu, mahkamah boleh memerintahkan pesalah muda dikenakan PKM tidak melebihi agregat 240 jam. - Sumber

Tiada ulasan: