Selasa, 21 Oktober 2008

Ketamin - Kuala Lumpur (Jalan Ampang) OKT

KUALA LUMPUR: Kegembiraan lapan sahabat termasuk tiga wanita berpesta dadah di sebuah hotel mewah membawa padah apabila bilik mereka diserbu polis di Jalan Ampang, di sini Ahad lalu.

Ketika serbuan, kelapan-lapan suspek berusia lingkungan 20-an dikatakan sedang asyik ‘melayan kepala’ selepas mengambil pelbagai jenis dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN), Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata sepasukan polis yang menerima maklumat berkaitan aktiviti jenayah di bilik hotel itu melakukan intipan sebelum membuat serbuan.

“Ketika serbuan dilakukan, polis mendapati lapan suspek termasuk tiga wanita berada dalam bilik berkenaan.


Pemeriksaan dalam bilik hotel menemui kira-kira 450 gram dadah disyaki ketamin, 200 biji pil Eramin 5 dan 80 pil Ecstasy,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, ujian air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek positif dadah.

Menurutnya, polis percaya seorang lelaki yang ditahan pembekal dadah berkenaan.

“Seorang daripada suspek juga dikesan memiliki rekod jenayah membabitkan kes dadah.

Semua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM12,000,” katanya.

Kang berkata, suspek dipercayai menyewa bilik hotel untuk menghisap dadah bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, selepas disoal siasat, ada antara suspek mengaku bekerja sebagai jurujual, pembaik pulih komputer, mekanik, ejen koperasi dan penganggur.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui dari mana suspek mendapat bekalan dadah berkenaan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan Jumaat lalu, polis merampas 56 paket kecil dadah dipercayai heroin selepas memberkas seorang lelaki berusia 34 tahun di kuarters kosong, di sini.

“Sepasukan polis dari JSJN Kuala Lumpur yang menerima maklumat menyerbu lokasi berkenaan dan mengesan seorang suspek berada di luar kuarters terbabit.

“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan,” katanya. - Sumber

Tiada ulasan: