Selasa, 21 Oktober 2008

Ketamin - Kuala Lumpur (KLIA) OKT

NILAI - Kastam menggagalkan cubaan seorang lelaki India menyeludup masuk dadah ketamin bernilai RM635,000 mengguna alat pemanas air diubahsuai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 4 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Mohd. Subri Awang berkata, pegawai Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di KLIA telah membuat pemeriksaan ke atas dua bagasi milik suspek berusia 42 tahun dan mendapati salah satu daripada bagasi tersebut diisi dengan alat pemanas air.

"Alat pemanas air itu dikesan selepas pegawai terbabit mendapati sesuatu yang aneh dalam bagasi berkenaan.

"Selepas mengeluarkan alat pemanas air itu ia didapati bahagian dalamnya telah diubahsuai dengan terdapat silinder tembaga yang didapati lebih berat daripada biasa," kata beliau.

Menurut beliau, apabila tembaga pemanas air itu ditebuk, pihaknya menemui serbuk putih disyaki ketamin.

Berat kasar serbuk ketamin yang ditemui dalam pemanas air tersebut ialah kira-kira 18 kilogram dan bernilai RM635,000.

Berikutan itu, Mohd. Subri berkata, pihaknya telah menahan reman suspek tersebut selama enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. - Sumber

Tiada ulasan: