Selasa, 21 Oktober 2008

Ketamin - Kuala Lumpur (KLIA) OKT

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menyembunyikannya dalam alat pendingin hawa, apabila merampas serbuk dipercayai ketamin seberat 29 kilogram bernilai RM1.15 juta, kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pencegahan), Datuk Mardina Alwi, berkata seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) KLIA selepas mengesyakinya membawa kotak logam berisi alat pendingin hawa, jam 12.50 tengah hari.

Lelaki itu bertolak dari Hyderabad, India melalui Bangkok, sebelum masuk ke negara ini. Dia ditahan sebaik pemeriksaan menjumpai dua karung plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin disorok dalam alat pendingin hawa yang dibawanya.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan dekat sini, semalam.

Ini rampasan kedua dalam tempoh 10 hari selepas KDRM berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan 18 kilogram dadah jenis itu yang disorok dalam alat pemanas air di KLIA, 4 Oktober lalu.

Mardina berkata, modus operandi penumpang kapal terbang menyorokkan dadah di dalam peralatan elektrik adalah satu trend dan strategi untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Sepanjang 10 bulan tahun ini, kita sudah berjaya menggagalkan 24 cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah yang menggunakan pelbagai modus operandi di KLIA berbanding 13 kes yang direkodkan sepanjang 2007,” katanya.

Beliau berkata, permintaan tinggi dadah jenis ketamin di pasaran terutama popular di kalangan kaki disko dipercayai menjadi penyebab penyeludupan dadah jenis itu semakin meningkat.

“Kami akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang cubaan penyeludupan dadah dapat dibanteras dan ditumpaskan.

“Orang ramai juga boleh membantu dengan menyalurkan maklumat kepada KDRM di talian bebas tol 1-800-88-8855 atau talian terus ke Pejabat Narkotik 06-7917792/7587 atau pejabat pencegahan terdekat di semua negeri,” katanya. - Sumber

Tiada ulasan: