Selasa, 21 Oktober 2008

Teknik - Kuala Lumpur (Bukit Aman) OKT

KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika yang sebelum ini merekrut wanita tempatan untuk dijadikan penyeludup dadah di luar negara kini dikesan menukar taktik dengan mensasarkan pekerja asing.

Pertukaran taktik itu berikutan operasi berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memantau teliti pergerakan dan modus operandi kumpulan terbabit.

Timbalan Pengarah I (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata siasatan pihaknya mendapati sindiket itu mula memperdayakan wanita asing terutama dari Filipina yang bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

"Kaedah digunakan masih sama seperti memperdayakan wanita tempatan sebelum ini, namun hanya mangsanya berubah.

"Mereka dijanjikan percutian percuma ke luar negara selain diberi wang saku dan diminta membawa beg yang mengandungi dadah tanpa disedari mangsa," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, taktik itu dikesan selepas pihaknya menahan sembilan wanita Filipina berusia 20-an dan menangkap 11 lelaki Afrika berusia dalam lingkungan 30-an, Ogos lalu.

Katanya, seorang daripada wanita ditahan ketika menunggu penerbangan untuk ke Sepanyol di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Polis turut menemui satu kilogram heroin disembunyikan dalam ruangan khas beg dibawanya. Lapan lagi wanita diberkas di sebuah rumah di ibu negara.

"Sebelas anggota sindiket warga Afrika itu yang dipercayai memperdayakan mereka ditangkap mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3 (1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat dihantar ke pusat tahanan di Muar, Johor; Batu Gajah, Perak (dua); Simpang Renggam, Johor (dua) manakala tiga lagi masih disiasat.

Katanya, siasatan lanjut mendapati lapan wanita terbabit dijadualkan dihantar ke Guandong, China bagi melakukan tugas penyeludupan. Othman berkata, penubuhan Pasukan Khas JSJN yang bertanggungjawab menyiasat kegiatan sindiket terbabit selain operasi berterusan pihaknya berjaya memberi tekanan kepada mereka. - Sumber

Tiada ulasan: