Selasa, 4 November 2008

Syabu - Kedah (Bukit Kayu Hitam) NOV

BUKIT KAYU HITAM: Seorang pemain gitar kumpulan rock terkenal negara ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Penolong Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad, berkata pihaknya menahan artis itu bersama tiga rakannya yang menganggotai kumpulan rock sama kira-kira jam 11 pagi semalam dalam 'Ops Deepa' Siri 2 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) dekat sini.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap pemain gitar itu mendapati dia mengambil dadah jenis amphetamine, manakala tiga rakannya dibebaskan selepas ujian air kencing mendapati mereka bebas dadah.

"Artis berasal dari Kuala Lumpur itu dipercayai pulang berhibur dari negara jiran selepas berada di situ sejak Jumaat lalu. Dia sudah beberapa kali ditahan untuk menjalani ujian air kencing di KIK dan kali ini dia tidak bernasib baik apabila keputusan air kencingnya didapati positif dadah," katanya di KIK, semalam.

Khairul Anwar berkata, artis itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam untuk dibuat laporan.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 207 rakyat tempatan yang baru pulang dari negara jiran untuk membendung penyalahgunaan dadah di kalangan rakyat negara ini.

Katanya, daripada jumlah itu, 10 didapati positif dadah.

"Semua mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998," katanya. - Sumber

Tiada ulasan: